Perang Tabuk (Bahasa Arab: غزوة تبوك) merupakan salah satu peristiwa peperangan dalam Islam. Dalam sejarah Islam, peperangan ini merupakan skop peperangan terakhir bagi Nabi Muhammad SAW Perang ini telah berlaku pada bulan Rejabketika tahun ke-9 Hijrah (Oktober 631 M). Keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik dan tempat berlakunya peperangan itu, Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh menyukar para musafir.
Tidak ada pertempuran berlaku apabila Nabi Muhammad sampai di Tabuk. Sebaliknya para pemimpin tempatan keluar dan minta berdamai. Yuhanna bin Ru'bah, ketua Ilya, keluar dahulu untuk membuat perjanjian perdamaian dan membayarjizyah.
Sebab berlakunya Perang Tabuk
Empayar Rom merupakan sebuah kerajaan yang besar dan kuat ketika itu dan selalu mencapai kemenangan apabila berperang. Akibat kekuatan tentera Rom yang semakin kuat dan gagah, Maharaja Rom ketika itu berasa mereka perlu mengembangkan pengaruhya sehingga ke negeri-negeri Arab. Disamping itu mereka mendapat khabar yang memberitakan sebuah kerajaan baru yang digelar Islam sedang mula meluaskan sayapnya di seluruh tanah Arab. Lalu Maharaja Rom berhasrat besar untuk menyerang wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Muhammad ketika itu. Rasulullah telah mendapat berita berkenaan keinginan Maharaja Rom itu. Kaum Islam ketika itu tidak berhasrat sama sekali untuk mengadakan pertempuran dengan kerajaan Rom kerana mereka berhasrat untuk meneruskan kehidupan harmoni dan tenteram di bawah pemerintahan Rasulullah. Walau bagaimanapun kaum Muslimin perlulah bersiap sedia dalam menghadapi apa-apa propaganda dari musuh Islam.
Peristiwa sebelum peperangan
Kaum Islam telah membuat perancangan yang drastik dan berhati-hati. Mereka bersepakat sekiranya Kerajaan Rom benar-benar bersedia untuk berperang dengan mereka, kaum Muslimin berhasrat untuk mengadakan pertempuran di luar kawasan suci kota Makkah dan Madinah. Akhirnya mereka bersedia menentang musuh di suatu kawasan padang pasir yang bernama Tabuk. Melalui permulaan peristiwa peperangan itu Allah telah menurunkan firmannya yang bermaksud:
- "Wahai orang-orang yang beriman,perangilah orang-orang kafir yang disekitar kamu itu,dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripada kamu,dan ketahuilah bahawasanya Allah (Tuhan) beserta orang-orang yang bertaqwa." (Surah At-Taubah ayat:123)
Kaum Islam telah bersiap sedia dengan 30,000 bala tentera termasuk 10,000 dari angkatan berkuda. Pasukan besar ini telah dipimpin oleh Rasulullah sendiri. Dikhabarkan tentera Rom pula telah dipimpin oleh Panglima Satria Hercules.
Berita persiapan peperangan itu telah mendapat reaksi besar daripada masyarakat Arab di bawah pemerintahan Rasulullah. Seorang ketua kaum munafik Arab ketika itu yang bernama Abdullah bin Ubai telah meminta keizinan kepada Rasulullah untuk menyertai peperangan. Sebilangan dari kaum munafik tidak mahu menyertai peperangan dengan alasan cuaca yang terlalu panas yang mampu melemahkan mereka. Pada mulanya Rasulullah bersetuju untuk menerima permohanan Abdullah bin Ubai, namun Allah telah menegur perbuatan Rasulullah itu dengan menurunkan firmannya dalam Al-Quran yang bermaksud:
- "Orang yang ditinggalkan (tidak ikut ke medan perang) berasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah dan mereka tidak suka berjihad (menegakkan ajaran Allah) dengan harta dan jiwa mereka dalam jalan Allah, dan mereka berkata: Janganlah kamu berangkat(pergi berperang)dalam panas terik ini. Katakanlah(wahai Muhammad): Api neraka lebih panas, jika mereka mengetahui." (Surah At-Taubah,ayat:81)
Lalu Rasulullah tidak menerima permohonan kaum munafik untuk mengikuti peperangan.
Telah menjadi suatu kebiasan bagi kaum beriman,untuk menanggung perbelanjaan perang dan membantu membantu modal kewangan masyarakat Islam bersama. Hartawan Islam terulung iaitu Uthman bin Affan telah mendermakan sebanyak 1,000 dinar untuk menanggung segala kos persiapan peperangan, kos senjata, ubat-ubatan dan makan serta minuman bagi angkatan tentera Islam.
Menuju ke Tabuk
Dalam perjalanan menuju ke Tabuk, orang Islam telah diuji oleh Allah dengan kekurangan air dan cuaca yang terlalu panas. Tentera Islam mengadukan hal ini kepada Muhammad Rasulullah, lalu sejurus itu Rasulullah berdoa kepada Allah. Lalu Allah memakbulkan permintaan Rasulnya dengan menurunkan hujan yang lebat sehinggakan orang Islam dapat minum dan mandi dengan sepuas-puasnya.
Peristiwa di Tabuk
Sesampai angkatan tentera Islam di Tabuk, Rasulullah bersama angkatan tetera Islam telah mengadakan 'perjanjian perdamaian' dengan penduduk di sekitar Tabuk, Rasulullah memberi jaminan keamanan kepada penduduk Tabuk, selagi mereka tidak menyebelahi musuh Islam dan memerangi dan berbuat jahat terhadap Islam. Setelah itu seorang penguasa Ilah (sebuah kawasan berdekatan Tabuk) yang bernama Yuhana bin Ru'bah datang meminta perdamaian bersama Rasulullah. Beliau sanggup membayar jizyah. Kesanggupan menerima keselamatan dan bersedia membayar jizyah juga diterima baik oleh penduduk Jarba dan Azruh. Rasulullah juga turut menghantar surat tawaran tersebut kepada setiap kawasan di sekitar Tabuk.
Tujuan Rasulullah berbuat demikian bukan untuk memonopoli kekayaan penduduk Tabuk atau membuat kejahatan kepada mereka. Tetapi Rasulullah berbuat demikian untuk menguatkan benteng perpaduan dan pertahanan Islam, di samping menyampaikan dakwah Islamiyah serta menyekat pergerakan musuh supaya tidak menggunakan sempadan Syam sebagai pangkalan perang. Akhirnya semua kabilah Arab di Tabuk menerima tawaran Rasul itu dengan tangan terbuka.
Hasilnya kekuatan tentera Islam di Tabuk semakin utuh dan kental. Rasulullah berjaya menyekat kemaraan tentera Rom di bawah pimpinan Panglima Satria Hercules, hal ini disebabkan beberapa faktor yang besar antaranya:
- Benteng wilayah Tabuk yang semakin kebal akibat kekuatan pihak Islam
- Tentera Islam berperang atas jalan Allah dan bukan semata-mata menguatkan pengaruh dan meluaskan kuasa
- Bantuan tentera Allah melalui pengutusan Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk. Mereka telah digentarkan oleh Malaikat {dianggarkan sebanyak 100,000 malaikat} yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah.
Hal tersebut segera mematahkan perasan tentera Rom untuk memerangi Islam. Ini membuatkan pihak Islam menang besar tanpa menerima pertumpahan darah sedikit pun.
Kembali ke Madinah
Setelah segala-galanya selesai tentera Islam berjalan pulang ke Madinah dengan selamatnya tanpa seorang pun yang terkorban nyawa. Tentera Islam berada di Tabuk selama 20 hari.
No comments:
Post a Comment